Balu, Dua Anak Tiri CEO Cradle Fund Dituduh Hari Ini

PETALING JAYA – Balu dan dua anak tiri kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn. Bhd. didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh Nazrin Hassan Jun tahun lalu.

Samirah Muzaffar, 44, yang memakai selendang biru bersama dua anak lelakinya berusia 15 dan 17 tahun lengkap memakai seragam sekolah mengangguk faham sebaik pertuduhan ke atas mereka dibacakan dihadapan Majistret Mohamad Ikhwan Mohd. Nasir.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama seorang lagi yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari yang merupakan warganegara Indonesia didakwa dengan mencapai niat bersama melakukan pembunuhan dan menyebabkan kematian mangsa di kediaman mereka diantara pukul 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun tahun yang sama.

Pertuduhan ke atas mereka dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Turut hadir adalah bapa yang juga penganalisis politik, Dr. Chandra Muzaffar.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Jamil Aripin.

Pada 14 Jun tahun lalu, Nazrin yang ketika itu berusia 47 tahun ditemui maut dalam kejadian kebakaran di bilik di rumahnya di Mutiara Homes, Petaling Jaya.

Dua bulan kemudian, polis mengklasifikasikan sebagai kes bunuh berikutan siasatan bomba mendapati ada kesan petrol di tempat kejadian.

Sementara itu, hasil bedah siasat mendapati terdapat kesan melecur di beberapa bahagian di bahagian tubuh serta dua kesan lubang atau kecedaran pada bahagian kiri kepala mangsa.

Polis kemudian menahan beberapa individu termasuk Samirah, bekas suami dan dua anaknya direman bagi membantu siasatan.

Pada 8 Oktober lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan kubur Allahyarham digali semula bagi menjalankan bedah siasat kedua untuk mencari bukti baharu.

Laporan bedah siasat kedua mendapati Nazrin mati akibat kecederaan di kepala dan bukannya berpunca daripada letupan telefon bimbit

Sumber: Kosmo Online