Kakitangan Dan Bekas Pekerja Invoke Malaysia Positif Dadah

KUALA LUMPUR  – Dua kakitangan dan seorang bekas pekerja firma penyelidikan data, Invoke Malaysia yang ditahan bersama sejumlah dadah di sebuah unit kondominium di Taman Mutiara, Jinjang pada Ahad lalu disahkan positif dadah jenis ganja.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, keputusan tersebut berdasarkan hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan terhadap dua wanita dan seorang lelaki berusia antara 25 hingga 30 tahun.

“Berdasarkan siasatan awal dilakukan, dadah jenis ganja seberat 75 gram yang ditemui dalam serbuan itu dipercayai bagi kegunaan ketiga-tiga suspek berkenaan dan bukan untuk pengedaran.

“Siasatan lanjut berhubung kes itu sedang dijalankan dan kesemua suspek masih direman selama enam hari bermula 3 hingga 8 Mac ini mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program ‘High Profile Policing’ di sebuah pasaraya di Taman Midah, Cheras, di sini, hari ini.

Kosmo! Online pada Ahad lalu melaporkan, polis menahan pegawai eksekutif, pereka grafik dan bekas kakitangan sebuah firma penyelidikan selepas menemui sejumlah dadah di sebuah unit kondominium di Taman Mutiara, Jinjang, di sini.

Sumber: Kosmo Online