Khazanah Rugi Buat Pertama Kali Sejak 2005

KUALA LUMPUR – Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dilaporkan mencatatkan kerugian pertama sayap pelaburan kerajaan itu sejak 2005, iaitu sebelum cukai RM6.271 bilion pada 2018 berbanding keuntungan RM2.896 bilion tahun sebelumnya.

Nilai portfolio menerusi Nilai Bersih Dilaraskan (NWA) merosot kepada RM91 bilion pada 2018, susut 21.6 peratus daripada RM116 bilion pada 2017.

Memetik Berita Harian, Pengarah Urusannya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, berkata, keuntungan kumpulan terjejas akibat jumlah pelupusan yang lebih sedikit berbanding tahun sebelumnya.

“Pendapatan dividen yang berkurangan dan peruntukan bagi susut nilai yang lebih tinggi, seiring dengan ketidaktentuan pasaran.

“Dalam pada itu, portfolio Khazanah terjejas akibat ketidaktentuan ekonomi global pada 2018 yang menyaksikan pasaran yang perlahan berikutan ketegangan geopolitik dan prospek pertumbuhan kurang memberangsangkan bagi pasaran baharu muncul,” katanya pada sidang media Ulasan Tahunan Khazanah 2019 di sini, hari ini.

Selain itu, portfolio kumpulan juga dipengaruhi oleh perkembangan domestik termasuk tinjauan pendapatan yang suram dan beberapa perubahan dalam pengawalseliaan bagi tempoh dikaji.

Beliau menambah, dengan prestasi kewangan berkenaan, kumpulan masih mengisytiharkan dividen sebanyak RM1.5 bilion bagi 2018.

Pada 2018, kerajaan memulakan penstrukturan dan penyusunan semula Khazanah, membabitkan perubahan kepimpinan dan pengurusan kanan dalam Lembaga Pengarah.

Menurut Shahril Ridza, Khazanah akan terus komited untuk meningkatkan kekayaan jangka panjang negara.

“Peranan utama Khazanah dibawah mandat baharu adalah meningkatkan kekayaan jangka panjang menerusi dua objektif pelaburan iaitu komersial dan strategik,” katanya.

Ketika ditanya mengenai laporan media bahawa pihaknya berhasrat menjual Legoland Resort di Johor, beliau berkata, ketika ini tiada sebarang perbincangan mengenai penjualan aset itu dan tidak menerima sebarang tawaran dari mana-mana pihak.

“Projek berkenaan masih berjalan dengan baik malah ia memberi pulangan yang positif. Ketika ini tiada sebarang perbincangan dan terima sebarang tawaran (pembelian),” katanya.

Taman tema berkenaan dianggarkan bernilai RM1 bilion (AS$245 juta) termasuk hutang.

Sumber: Sinar Harian