Wanita Maut, Dua Anak Parah Kereta Bertembung Lori

SIK – Seorang wanita maut manakala dua anaknya cedera parah selepas kereta dinaiki bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 3 Jalan Felda Teloi Timur-Merbau Kudung di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, mangsa, Mariani Razak, 35, yang merupakan pemandu kereta jenis Perodua Myvi meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badan.

Dua anaknya iaitu Nur Zariff Syauqina Mohd. Zaiful Shahrin, 4, dan Nur Zariff Syafiyya, 6, yang parah dikejarkan ke Hospital Sik.

Turut cedera, pemandu dan kelindan lori iaitu Muhid Kassim, 45, dan Ismail Hassan, 68.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, siasatan awal mendapati kereta yang dinaiki tiga beranak itu dari arah Pekan Batu Lima terbabas lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah lori.

“Akibat daripada kemalangan tersebut, pemandu kereta meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua anaknya serta pemandu dan kelindan lori yang cedera dikejarkan ke Hospital Sik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau, dua kanak-kanak di dalam Perodua Myvi dilaporkan mengalami kecederaan dalaman selain cedera pada kaki.

“Pemandu lori mengalami sakit pada badan selain luka di tangan, kaki dan badan manakala kelindannya pula luka pada badan dan kepala serta mengalami kecederaan dalaman,” ujarnya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987

Sumber: Kosmo Online