Ziyad hadiahkan rumah bernilai RM360,000 pemberian kerajaan Selangor kepada ibu dan bapa

Siapa yang tidak kenal jaguh paralimpik negara dalam sukan lontar peluru yang pernah mengharumkan nama negara di Sukan Paralimpik Rio de Janeiro dan Sukan SEA Kuala Lumpur baru-baru ini.

Muhammad Ziyad Zolkefli yang mengalami masalah pembelajaran tampil sebagai pemenang pingat emas dalam Sukan Paralimpik Rio de Janeiro di Brazil pada tahun lalu mendapat ‘durian runtuh’ apabila dihadiahkan sebuah rumah berkembar setingkat di Taman Selayang Mutiara.

Pemberian rumah dengan nilai pasaran kira-kira RM360,000 itu adalah sebagai tanda penghargaan daripada kerajaan negeri Selangor atas pencapaian kejayaannya.

Kredit: Berita Harian

Ziyad yang teruja dan gembira atas pemberian rumah berkenaan berkata rumah tersebut akan diberikan kepada kedua-dua ibu bapanya, Zolkefli Othman dan Siti Arfah Abdul Rashid.

Kredit: Berita Harian

“Syukur Alhamdulillah. Terima kasih kepada kerajaan negeri Selangor atas pemberian yang cukup bermakna ini”

“Ini akan meningkatkan lagi semangat saya untuk terus berjuang serta mencapai tahap yang lebih tinggi selepas ini”.

Ketika majlis penyerahan replika kunci rumah itu, Ziyad yang ditemani isteri, Zafirah Md Nasir dan anak mereka Zuhayra Zafra berkata bahawa dia sentiasa memasang impian untuk membina kediaman istimewa buat kedua-dua orang tuanya.

Hasrat ini nampaknya berjaya direalisasikan menerusi pemberian kerajaan negeri.

“Rumah ini saya berikan kepada emak dan ayah saya. Mereka sekarang tinggal di Batu 12 Gombak dan akan berpindah ke sini supaya dapat menjalani kehidupan yang lebih selesa”.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Amirudin Shari, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Batu Caves.

Ketika ditanya mengenai perkembangan kerjayanya pada waktu ini, Ziyad memaklumkan bahawa beliau sedang berusaha untuk mencari tiket secara merit agar dapat menyertai temasya Sukan Asia yang bakal berlangsung di Jakarta dan Palembang, Indonesia pada bulan Ogos 2018.

Tambah Ziyad lagi, beliau harus memastikan balingannya mencapai tahap enam terbaik Asia bagi membolehkannya membuat penampilan sulung bersama atlet-atlet normal lain.

Sumber: Harian Metro

Jika anda suka dengan kisah ini. Sila berikan sokongan dengan KONGSI bersama rakan anda supaya kami dapat terus berusaha menyediakan kandungan berkualiti buat tatapan komuniti semua. Ribuan Terima Kasih.